Sunday 24 August 2014

Pengenalan

Kebebasan berhimpun ialah hak asasi manusia untuk berkumpul secara aman untuk menyuarakan pendapat bagi kepentingan bersama. Ini termasuk hak untuk berhimpun di tempat awam, membentuk kumpulan dan untuk berarak. 

Kebebasan berhimpun adalah asas kepada sistem demokrasi yang matang. Ia membolehkan rakyat menyuarakan pendapat tentang isu- isu semasa secara kolektif dan menekan kerajaan untuk menunaikan tuntutan rakyat. Kebebasan inilah yang mampu mendorong rakyat untuk bersatu padu dan mengukuhkan suara kolektif, bagi menuntut kepentingan bersama.

PERATURAN BERKAITAN KEBEBASAN BERHIMPUN YANG TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

PERKARA 10 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: KEBEBASAN BERCAKAP, BERHIMPUN DAN MENUBUH PERSATUAN.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4);

(a) tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;

(b) semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;

(c) semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan;

(2) Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan:

(a) ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Akta Perhimpunan Awam 2011

Satu akta yang berhubung dengan hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, dan untuk menyediakan suatu sekatan yang dirasakan perlu dan apa-apa usaha yang berhubung dengan hak tersebut di dalam kepentingan keselamatan Persekutuan Malaysia atau apa-apa bahagian atau peraturan awam termasuklah melindungi hak kepentingan dan kebebasan insan lain, dan untuk memberikan apa-apa sahaja yang berkaitan.

Akta Perhimpunan Aman 2011 merujuk kepada 'Akta Perhimpunan Aman' yang diluluskan di Parlimen pada 24 November 2011 bagi mengawal perhimpunan awam di Malaysia. Rang Undang-Undang itu dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak .

Ciri-ciri selepas pindaan


Fasal 4 : menyatakan hak untuk menganjurkan suatu perhimpunan atau menyertai suatu perhimpunan secara aman dan tanpa senjata di bawah Akta ini tidak meluas kepada yang berikut:
(a) seseorang bukan warganegara; (b) perhimpunan yang diadakan di mana-mana tempat larangan dan dalam jarak lima puluh meter dari had tempat larangan; (c) suatu protes jalanan; (d) berhubung dengan penganjuran suatu perhimpunan, seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun; dan (e) berhubung dengan penyertaan dalam suatu perhimpunan selain perhimpunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua, seseorang kanak-kanak.

Fasal 8 : Seseorang pegawai polis boleh mengambil langkah yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan berkenaan dikendalikan dengan teratur.
Fasal 9(1) : Penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 hari kepada sepuluh hari.
Fasal 9(5) : Polis boleh mengenakan denda ke atas penganjur sebanyak RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.
Fasal 12(1) : Memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak berkepentingan berhubung perhimpunan tersebut – daripada daripada 48 jam kepada 24 jam.
Fasal 12(2) : Tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan daripada lima hari kepada 24 jam.
Fasal 14 : Tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan daripada 12 hari kepada lima hari.
Fasal 15 : Pemusatan kuasa serta budibicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai
Fasal 16 : Memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.[3]
Fasal 21 : Membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan
Fasal 21(3) : Polis boleh mengenakan denda sehingga RM20,000 berbanding denda sebanyak RM2,000 kepada individu yang ditahan dalam perhimpunan.
Tempat larangan - tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan juga sekolah - lingkungan 50 meter .

Pendapat Datuk Mukhriz Mahathir berkenaan Perhimpunan Haram

Perhimpunan haram yang berlangsung pada tahun 2009 yang lalu memberi kesan (negatif) kepada perdagangan dan pelaburan Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya perhimpunan haram itu akan mewujudkan satu kesan negatif kepada pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat secara signifikan, dari tahun ke tahun.

Mukhriz berkata kestabilan politik adalah kriteria yang sangat penting di dalam usaha negara ini untuk menarik FDI dan sehingga ini, Malaysia sangat berjaya di dalam usaha itu.

“Banyak pelabur, yang pada peringkat awalnya merancang melabur di negara jiran, telah mengalihkan rancangan mereka untuk melabur di Malaysia selepas berlaku krisis politik di negara yang disasarkan pada asalnya.

“Sekarang, jika kita berhadapan krisis yang sama di sini, tanggapan para pelabur terhadap Malaysia dan Asean, secara umumnya, akan menjadi negatif,” katanya kepada pemberita di sini Selasa selepas satu majlis perkongsian pengetahuan dengan kira-kira 45 pelajar universiti yang ditawarkan melakukan latihan di seberang laut.

Kesan Buruk Perhimpunan Haram

Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.

Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.

Kerugian Jutaan Ringgit


Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo?
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta. Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini? Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam  akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.


Antara kesan selepas Perhimpunan Haram Bersih 2.0 yang berlaku pada tahun 2009 :-
  • Seramai lebih kurang 1600 peserta ditangkap termasuk beberapa pemimpin atasan. Tetapi telah dibebaskan secara berperingkat-peringkat dengan jaminan polis.
  • Kerosakan harta benda yang dianggarkan kerugian berjumlah RM100 juta.
  • Peniaga-peniaga kecil di sekitar lokasi perhimpunan terpaksa menanggung kerugian dianggarkan lebih kurang RM30 juta kerana tidak boleh berniaga pada hari tersebut menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
  • Polis terpaksa membelanjakan sehingga RM40 ribu semata-mata untuk menyediakan makanan (bufet) dan kemudahan kepada peserta-peserta yang ditangkap.
  • Beberapa Majlis Perkahwinan terganggu dan terjejas berikutan jalan ditutup dan kesesakan berlaku menyebabkan ramai yang terperangkap gara-gara peserta perhimpunan.
  • Sampah sarap yang ditinggalkan peserta tidak dibersihkan selepas perhimpunan berakhir. Tak sepertimana yang dilaung-laungkan pihak penganjur yang sukakan kebersihan.
  • Kematian salah seorang peserta perhimpunan akibat serangan jantung.( Mungkin Disebabkan Polis)
  • Pekerja yang berkerja sekitar lokasi perhimpunan terganggu.
  • Mengganggu urusan orang ramai yang mahu berurusan di lokasi perhimpunan.
  • Penganjuran perhimpunan haram dilihat mempunyai agenda politik gara-gara penglibatan pemimpin politik. ( Mungkin)
  • Penganjuran lebih dilihat sebagai perpecahan kaum terutamanya Melayu biarpun tujuannya bersih. Cuma caranya sahaja dilihat tidak profesional dan seakan tidak bertamadun.
  • Industri pelancongan juga turut terjejas. Pelancong asing meragui keselamatan mereka untuk berkunjung ke Malaysia.
  • Mencemarkan nama baik negara sendiri di mata dunia. Tumpuan dunia tertumpu di Malaysia tanpa mengetahui status sebenar apa yang berlaku jika maklumat yang disampaikan itu kurang tepat.
  • Apa yang dirisaukan jika Baginda YDP Agong Akan mengumumkan Daurat. Sudah pasti negara huru-hara. Dan keselamatan negara akan tergugat.


Saturday 23 August 2014

RUMUSAN

Hak untuk berhimpun adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Hak tersebut membuka ruang untuk seorang warganegara berhimpun secara aman, tanpa senjata. Hak berhimpun diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik (ICCPR).

Dalam sebuah masyarakat sivil yang demokratik, adalah amat penting untuk suara rakyat disampaikan ke peringkat keputusan tertinggi negara ini. Rakyat perlu melibatkan diri dalam pelaksanaan keputusan negara, sama ada secara langsung atau tidak, dan salah satu caranya adalah dengan meluahkan pendapat masing-masing melalui perhimpunan aman, serta bantahan ataupun cadangan. Melalui demonstrasi dan perhimpunan rakyat, warga Malaysia dapat melalui satu proses luah perasaan untuk melepaskan rasa tidak puas hati terhadap keputusan-keputusan kerajaan yang mewakili kuasa terbesar negara. Disebabkan kuasa yang bagaikan mutlak di dalam tangan kerajaan, maka amat mudah untuk pihak kerajaan melanggar hak asasi seorang individu ketika menjalankan urus tadbir negara. Himpunan rakyat adalah penting bagi rakyat memastikan kerajaan boleh bertindak muhasabah dan melakukan penambahbaikan dalam pentadbiran mereka setelah mendapat maklumbalas dalam bentuk bantahan awam sebegini.

Himpunan rakyat wujud sebagai satu landasan untuk pandangan rakyat didengari, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun di peringkat antarabangsa. Pandangan ini bukan sahaja mewakili suara bilangan peserta di perhimpunan tersebut, tetapi juga harapan mereka untuk melihat kehidupan yang lebih baik melalui desakan kepada pihak tertentu untuk mengambil tindakan. Ia juga boleh dilihat sebagai suatu kaedah ‘civil disobedience’, dimana desakan dibuat terhadap pihak kerajaan supaya tuntutan rakyat dipenuhi. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, suara rakyat adalah amat penting, maka sebuah demokrasi tidak akan sempurna tanpa protes ataupun perhimpunan rakyat, yang keduanya merupakan elemen penting dalam pembinaan masyarakat sivil yang berasaskan Kedaulatan Undang-Undang dan menghormati Keluhuran Perlembagaan.

Walaubagaimanapun, tiada hak yang mutlak yang wujud di dunia ini, dan kawalan perlulah dilaksanakan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam. Artikel 10(2)(b) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengekang kebebasan berhimpun atas alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Di Malaysia, kita melihat Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai undang-undang utama yang mengawal perhimpunan aman di negara ini. Kekangan tersebut haruslah munasabah dan tidak menyekat kebebasan seseorang individu sehingga haknya tidak dapat dipraktikkan langsung. Jikalau kita mengkaji Akta Perhimpunan Aman tersebut, timbul juga beberapa seksyen yang tidak munasabah. Protes jalanan ditetapkan sebagai haram, dan protes jalanan diberi maksud perjumpaan di sesuatu tempat yang bergerak ke sesuatu tempat dalam kumpulan yang besar untuk tujuan tertentu. Individu berumur kurang daripada 21 tahun tidak dibenarkan berhimpun, dan ini bercanggahan dengan Artikel 15 Konvesyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, di mana kanak-kanak juga ada hak untuk berhimpun. Notis 10 hari tentang perhimpunan juga perlu diberi kepada pihak polis untuk himpunan di tempat yang bukan disediakan untuk himpunan. Pelanggaran syarat boleh menyebabkan penganjur didenda. Notis tersebut bukanlah untuk meminta kebenaran dari pihak polis untuk berhimpun, tapi tujuannya adalah untuk memberitahu polis untuk mengawal traffik demi memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan lancar.

Pihak kerajaan haruslah menghormati Kedaulatan Undang-Undang serta Keluhuran Perlembagaan, seperti mana yang terkandung dalam Rukun Negara, dan tidak menggubal undang-undang yang tidak berasaskan semangat kedaulatan undang-undang.

Contoh terbaik sebuah perhimpunan rakyat yang aman adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 yang telah berlangsung di Stadium Merdeka awal tahun ini. Dengan ketiadaan Pasukan Simpanan Persekutuan atau Federal Reserve Unit kelihatan semasa perhimpunan tersebut, segala aktiviti yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar. Pertama kali dalam sejarah negara kita perhimpunan sebesar ini diadakan yang dihadiri oleh rakyat dari seluruh negara. Pihak polis juga tidak menggunakan kekerasan semasa menjalankan tugasnya, berbanding dengan yang telah dilakukan pada BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk demokrasi yang lebih telus.


Dengan ini, saya ingin menekankan bahawa himpunan rakyat tidak akan mengugat keamanan negara sekiranya semua pihak memberikan kerjasama. Pihak polis perlu menjaga ketenteraman awam supaya pihak yang ingin menimbulkan huru-hara dihalang dari berbuat demikian. Penganjur pula perlu memastikan perjalanan aktiviti sepanjang perhimpunan berjalan dengan lancar dan peserta mematuhi arahan pihak penganjur dan pihak polis, serta berkelakuan baik semasa perhimpunan tersebut. Hak untuk berhimpun secara aman perlulah disanjungi dan dihormati oleh semua pihak, termasuklah pihak kerajaan.

RUJUKAN

Buku.

   1. Pengajian Malaysia oleh Dr. Mardiana Nordin; Hasnah Hussin (Oxford Fajar)
   2. Perkembangan Perlembagaan Malaysia oleh Mohd Aris Hj Osman (Fajar Bakti 1983)

Internet.
  1. ms.m.wikipedia.org/wiki/Perlembagaan_Malaysia

2. http://www.parlimen.gov.my/